Wednesday, January 19, 2011

Syurga Firdaus dan calon-calonnya..

Assalamualaikum


Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya bagi Allah Pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,ahli keluarga baginda,para sahabat dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan ikhlas hingga ke hari kiamat.




Entry kali ini, saya ingin berkongsi dengan kalian antara syurga yang dijamin oleh Allah buat hamba-hambaNya yang bertaqwa dan beriman dan apakah sebab-sebab yang membolehkan kita mencapainya.Umum mengetahui syurga itu ada peringkat-peringkatnya.Nama-nama syurga dan tingkatannya ialah:
  1. Syurga Firdaus
  2. Syurga 'Adnin
  3. Syurga Na'im
  4. Syurga Ma'wa
  5. Syurga Darussalam
  6. Syurga Darul Muqamah
  7. Syurga Al-Maqamul Amin
  8. Syurga Khuldi
Fokus kali ini lebih kepada Syurga Firdaus iaitu syurga yang berada di tingkat teratas sekali.Sebenarnya ada banyak sebab,ciri2 atau sifat2 yang orang beriman yang membolehkan seseorang itu tergolong dlm golongan orang  yang diangkat darjat mereka di sisi Allah.Di akhirat kelak,mereka akan memperoleh balasan syurga tapi syurga yang diperolehi tu tak sama tingkatannya, sesuailah dengan tingkat amalan yang dikerjakan.Orang yang lebih tinggi tingkat ketaqwaannya tak sama dengan orang yang mengamalkan ajaran agama secara sederhana.Di sinilah letaknya keadilan Allah, balasan pahala yang diberikan sesuai dengan amalan yang dikerjakan.

Syurga Firdaus dan calon-calonnya

Orang-orang yang akan menghuni syurga Firdaus itu adalah orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh.Antara amal soleh yang dikerjakannnya ialah..  
  • Sentiasa khusyuk dalam mengerjakan solat
  • Sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia
  • Rajin membayar zakat
  • Sentiasa memelihara kemaluannya daripada melakukan maksiat
  • Memelihara amanah
  • Menepati janji
  • Sentiasa memelihara solat
Ciri-ciri yang disebutkan di atas ini bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud: 

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan )yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap ister-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi barangsiapa yang mencari di balik itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah yang akan mewarisi, syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya."
                                                                                  (surah al-Mukminun:1-11)

Ketahuilah bahawa di dalam syurga ini mereka akan merasakan nikmat dan kebahagiaan yang tidak kan pernah habis dan berkurangan.Betapa indahnya syurga yang diciptakan Allah yang Maha Kuasa sehinggakan Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud,

"Untuk hambaku yang soleh, Aku sediakan kesenangan yang tidak pernah terlihat oleh mata, tidak pernah di dengar oleh telinga dan tidak pernah sedikitpun terlintas di hati manusia."
                                              -Hadis riwayat Imam Ahmad,Tirmizi dan Ibn Majah-

Begitulah kehebatan dan keagungan Allah SWT yang menyediakan ganjaran bagi mereka yang berbuat kebaikan.Kebahagiaan yang mereka rasakan di dalam syurga ini membuatkan mereka tidak mahu berpindah ke tempat lain seperti yang dinyatakan di dalam ayat 108, surah al-Kahfi iaitu,

"Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah dari sana"

Semoga apa yang dikongsikan ini mendatangkan manfaat kepada kita semua.Saya doakan smoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk melakukan amal kebaikan demi memperoleh ganjaran pahala dan nikmat syurga di akhirat nanti.Saya mengakui diri ini masih lemah dan banyak berbuat dosa.Marilah kita sama-sama memperbaiki amal ibadah kita seharian agar diterima sisiNya.

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami,berilah hidayah dan petunjuk kepada kami untuk menghadapi segala ujian yang Kau beri, Ingatkanlah kami apabila kami lupa, leka dan alpa.Kami ingin bertemu denganMu di syurgaMu nanti".Ameen ameen ya rabbal 'alamin..

No comments: